Isnin, 22 September 2008

Minda Pewaris

Salam sejahtera,

Minda, berkaitan dengan pemikiran dan pendapat yang sedar atau tidak sedar, menerima dan membuat keputusan, terus terang atau berselindung, yakin atau ragu-ragu, mampu bertindak segera dengan cara waras atau kurang waras. Minda akan menjaga atau mengelola manusia. Akhirnya minda merujuk kepada orang yang mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak serta orang yang dikatakan intelek.

Minda juga merujuk kepada sudut pandangan, pemikiran yang cenderung kepada sesuatu (minded). Ia dijana dan dijuruskan oleh sikap, perangai atau tabiat tertentu samada ia kearah pemikiran sempit (narrow minded) atau yang mementingkan sesuatu contohnya mementingkan diri sendiri.

Seterusnya minda merujuk kepada orang yang berfikiran memandang berat tentang sesuatu perkara. Berbanding dengan orang yang tidak mengambil tahu, tidak peduli apapun (mindless) yang dikatakan orang yang tidak bertanggungjawab atau tidak mempedulikan apa-apa.

Oleh itu, minda adalah keutamaan untuk manusia berfikir. Berfikir dengan penuh keimanan, kematangan yang tidak menimbulkan riak dan takabbur, dengan berlandaskan hukum dan tidak menyimpang dari yang digariskan dalam agama.

Al Syeikh Muhammad Jamaluddin Al Qsimi Al Dimasqi menggariskan dalam Ihya Ulumuddin bahawa keutaman berfikir telah dijelaskan dalam Al Qur'an (Surah Al Imran : 191). Maka berfikir adalah pokok perkara untuk mendapatkan ilmu dan segala kebaikan. Maka minda perlu digunakan sebaiknya untuk berfikir. Minda perlu berfikir untuk memindahkan sesuatu keburukan kepada kebaikan, sesuatu yang dibenci kepada yang disukai.

Minda perlulah berfikir tentang 4 perkara sekurang-kurangnya iaitu ketaatan, maksiat, sifat yang merosakkan dan sifat yang menyelamatkan.

Waris adalah orang yang memiliki perkaitan dengan orang yang terdahulu, samada dari segi biologi kejadian atau budayanya. Seorang anak mewarisi biologi ibubapanya. Mewarisi gene yang dikatakan menentukan pemikiran, perangai dan tingkahlakunya. Seorang yang mewarisi kekuasan hasil dari kekuasaan induknya. Seorang yang diamanahkan untuknya oleh orang yang terdahulu darinya.

Seorang pemimpin yang telah menerima wasiat dan amanah dari pemimpin sebelumnya seperti juga seorang cucu yang telah diberi amanah oleh datuk neneknya.

Seorang rakyat yang hidup dalam sebuah tanahair sekian lama, yang telah sebati dan mewarisi segala-galanya dari pemerintah sebelum adalah pewaris kepada tanahairnya.

Maka, di tanah ini, Malaysia telah mewarisi Persekutuan Tanah Melayu. Kemungkinan Persekutuan Tanah Melayu telah mewarisi Kerajaan Melayu Melaka. Kita hari ini adalah pewaris kepada Kerajaan Melayu Melaka, pewaris kepada Persekutuan Tanah Melayu dan pewaris kepada Malaysia.

Minda Pewaris merujuk kepada minda kita, minda orang-orang Malaysia. Jika disebut tadi bahawa minda digunakan untuk berfikir dan bertindak dengan waras, terbaik, menukar keburukan kepada kebaikan dan mengubah dari sifat merosakkan kepada menyelamatkan, ianya perlu kita bertanya pada diri sendiri.

Apakah aku ini Pewaris yang mempunyai minda yang merosakkan atau yang menyelamatkan?. apakah tindakan aku akan merosakkan apa yang telah diwariskan kepada aku atau akulah pewaris yang menyelamatkan?. apakah aku telah menggunakan minda aku untuk berfikir tentang kebaikan yang perlu dijanakan berbanding dengan kejahatan?.

Minda Pewaris, minda kita rakyat Malaysia kini, hari ini penuh dengan kemelut politik, sosial dan ekonomi. Minda pewaris Malaysia yang mungkin sudah tidak berada dilandasan minda positif.

Cuba kita fikirkan. apakah minda kita sekarang telah terkongkong oleh fahaman individualistik masing-masing?. Minda kita waras atau tidak?. Minda kita berfikir kearah merosakkan atau menyelamatkan negara ini?.

Jika sekarang kita menggunakan minda untuk berfikir kearah keburukan, pertelagahan, kekacauan, hasad, dengki, dendam, ketamakan, kerakusan kuasa dan harta maka minda kita sudah terpesong jauh dari apa yang digariskan, berfikir tentang ketaatan, maksiat, sifat yang merosakkan dan sifat yang menyelamatkan.

Minda pewaris, jika mereka menganggap mereka adalah rakyat pewaris dan pemimpin pewaris tetapi mereka menggunakan minda untuk berfikir cara bagaimana untuk merosakkan dan menghancurkan apa yang telah diwarisi di Malaysia ini tentulah mereka telah melakukan onar dan khianat kepada warisan sendiri. Renungkan.

Tiada ulasan: